I. Seratus enam belas minit dan sebuah janji Pada Jumaat, 9 Oktober 2026, jam 3.35 petang, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berdiri di Dewan Rakyat membentangkan Belanjawan MADANI Kelima (2027). Jam 5.31 petang, barulah beliau duduk. Seratus enam belas minit. Pada malamnya, infografik “perkataan unik” ucapan itu tersebar di media sosial: waad, lighad, pranata, inayat, ketimbang, dasawarsa, kendatipun, failasuf. Ramai yang diam-diam membuka Kamus Dewan. Daripada semuanya, satu yang wajar direnung lebih lama: waad. Bertemakan Menggapai di langit, mengakar di bumi dan berpaksikan lapan lunas, belanjawan ini dibingkaikan Perdana Menteri sebagai Waad Nasional. Negara menyediakan ruang dan peluang, rakyat mengisinya, pemerintah menjaga amanah. Kita lazimnya membaca belanjawan sebagai berapa diperuntukkan, siapa dapat, bila masuk. Itu tidak salah. Tetapi wang habis dibelanjakan dalam satu tahun kewangan, sedangkan janji diukur sepanjang satu generasi. Wang boleh diagihkan, tetapi waad hanya tertunai apabila kedua-dua pihak memegang talinya. Sumber hikmah ucapan itu juga luas. Selain pujangga Melayu Raja Ali Haji (Gurindam Dua Belas, 1847), Perdana Menteri memetik pujangga agung Tamil, Thiruvalluvar, daripada rangkap ke-731 Tirukkural: “Thallaa Vilaiyulum Thakkaarum Thaazhvilaach Chelvarum Servadhu Naadu.” Dalam tafsiran yang dibawa Perdana Menteri, negara yang unggul ialah negara yang subur hasil buminya, tinggi ilmu dan budi rakyatnya, serta makmur kekayaannya tanpa mengesampingkan akhlak. Kebesaran negara tidak diukur semata-mata dengan khazanah dan mercu tanda, tetapi dengan kebijaksanaan, keadilan dan kemuliaan insan. Pada 31 Ogos 1957, Tunku Abdul Rahman berdiri di Stadium Merdeka dan melaungkan satu perkataan tujuh kali. Pada 31 Ogos 2027, laungan itu genap tujuh dasawarsa. Stadium Merdeka yang dipulihara PNB turut disebut, berserta pengecualian duti hiburan bagi acara seni, budaya, hiburan dan sukan di situ dan di Stadium Negara. Maka wajar Belanjawan 2027 dibaca bukan sekadar sebagai wang, tetapi sebagai waad. Ia bertolak daripada soalan yang patut ditanya setiap generasi; "Selama 70 tahun, kita sudah merdeka daripada apa, dan masih terikat kepada apa? Dalam setiap jawapan, janji apakah yang dibuat, dan siapa yang perlu menunaikannya?" II. Dari tekad ke nikmat: Empat tahun tema Hari Kebangsaan MADANI Tema Hari Kebangsaan Kerajaan MADANI, jika disusun mengikut urutan, membentuk satu ayat panjang, hampir sebuah naratif kenegaraan. Pada 2023, temanya Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan. Kerajaan Perpaduan masih setahun jagung, lahir daripada Parlimen tergantung dan gabungan parti yang dahulu tidak serasi. Apa yang paling diperlukan ialah tekad untuk kekal bersama: tema seorang tukang bina yang baru menuang konkrit asas. Pada 2024, Jiwa Merdeka. Fokus beralih ke dalam, kepada cara berfikir dan kebebasan daripada mentaliti yang merantai: tema tentang minda, bukan bangunan. Pada 2025, Rakyat Disantuni. Kerajaan menghulur tangan melalui STR, SARA dan subsidi bersasar. Rakyat dilayan, dijaga dan diberi. Pada 2026, Kesejahteraan Dinikmati. Ukurannya berubah. Tidak cukup rakyat disantuni; mereka perlu merasai hasilnya di dapur dan dalam dompet. Lihat pergerakan kata kuncinya: tekad, jiwa, disantuni, dinikmati. Ia bergerak daripada pemerintah kepada rakyat, daripada niat kepada rasa, hampir tepat dengan gurindam Raja Ali Haji yang dipetik Perdana Menteri: Hukum adil atas rakyat, Tanda raja beroleh inayat. Dengan lensa itu, Belanjawan 2027 boleh dibaca melalui tujuh dimensi kemerdekaan. Setiap satunya membawa janji: ada yang hampir tertunai, ada yang baru bermula, ada yang masih di kaki langit. III. Dapur dahulu, kemudian dunia Dimensi Merdeka pertama paling dekat dengan rakyat: merdeka daripada himpitan harian. Di sinilah belanjawan RM459.8 bilion ini paling murah hati. Peruntukan STR dan SARA naik kepada RM16 bilion. Penerima STR menerima SARA sehingga RM150 sebulan, manakala sehingga 13 juta rakyat lain berumur 18 tahun ke atas, termasuk golongan pertengahan, menerima SARA MADANI RM100 sebanyak dua kali. Had pelepasan cukai individu yang tidak disemak sejak 2010 dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000. Enam belas tahun harga barang naik, sementara pelepasan itu berdiri kaku seperti tugu di bulatan. Kadar cukai bagi pendapatan bercukai RM70,000 hingga RM150,000 diturunkan satu mata peratusan. Pelepasan turut diperluas kepada tuisyen anak dan langganan AI, manakala pelepasan penjagaan ibu bapa dan datuk nenek kini meliputi semua perbelanjaan penjagaan, bukan lagi kesihatan semata-mata. SARA kini boleh digunakan di 216 Pasar Tani dan Tamu FAMA. Mak cik yang setiap pagi Sabtu ke pasar tani boleh membeli ikan, ayam dan sayur dengan bantuan kerajaan, dan ringgit itu bergerak lebih dekat ke tangan petani dan nelayan. Merdeka 1957 lahir daripada sawah, laut dan ladang, dan belanjawan ini tidak melupakannya. Insentif penuaian padi digandakan daripada RM50 kepada RM100 sehektar semusim. Insentif pengeluaran getah dinaikkan buat kali ketiga sejak 2022, kepada RM3.30 sekilogram. Seramai 109,000 peneroka FELDA kini memegang hak milik tanah. Thiruvalluvar meletakkan tanah yang subur sebagai syarat pertama negara unggul: merdeka bermula dengan tanah. Peneroka yang memegang geran lebih merdeka daripada yang mengusahakan tanah atas nama orang lain. Maka wajar kita bertanya soalan rakyat secara matang: dari mana duitnya? Sebahagiannya, menurut Perdana Menteri, datang daripada subsidi bahan api yang disasarkan semula melalui BUDI MADANI. Warga asing dan syarikat besar tidak lagi mengisi tangki dengan petrol yang dibiayai rakyat Malaysia. Itu keputusan berani yang tidak dimiliki banyak kerajaan sebelum ini. Di atas semua itu ada hakikat lebih besar. Krisis Asia Barat menolak subsidi bahan api ke paras RM40 bilion, dan defisit 2026 kini diunjur 3.6 peratus, sedikit tergelincir daripada sasaran 3.5 peratus. Kerajaan tetap yakin defisit turun ke 3.3 peratus pada 2027 walaupun cukai rakyat dan PMKS diturunkan. Hasil 2026 yang melepasi anggaran asal sebanyak RM20.5 bilion memberi asas kepada keyakinan itu. Tetapi ia sedikit seperti ketua keluarga yang menaikkan duit belanja anak-anak kerana bonus tahun ini besar, sambil berdoa bonus tahun depan sama besar. Benar, harga minyak yang menaikkan subsidi juga menaikkan hasil petroleum, satu lindung nilai semula jadi yang menampung sebahagian beban. Tetapi lindung nilai bukan kemerdekaan. Selagi peluru di negara orang boleh menggoncang dapur kita, merdeka pertama ini belum lengkap. Di dapur, wang sudah sampai. Waadnya ialah keberanian menyelesaikan langkah yang masih ditangguhkan. IV. Gaji: Medan sebenar maruah ekonomi Dimensi merdeka kedua ialah jantung belanjawan ini. Dua daripada tiga tonggak Kerangka Ekonomi MADANI ialah menaikkan siling dan menaikkan lantai. Siling ialah cita-cita negara bersaing di peringkat tertinggi; lantai ialah maruah pekerja paling bawah. Ucapan itu mengakui sesuatu yang jarang diakui secara terbuka: beban sara hidup berpunca bukan semata-mata daripada harga yang naik, tetapi daripada pendapatan yang tidak naik seiring. Pampasan pekerja hanya 33.9 peratus daripada KDNK. Kek membesar, tetapi potongan yang sampai ke pinggan pekerja masih nipis. Lihat perjalanan lantai itu: RM1,500 pada 2022, RM1,700 pada 2025, dan RM2,000 mulai Jun 2027, melibatkan lebih 4 juta pekerja. PMKS dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan buat masa ini bagi memberi ruang penyesuaian model perniagaan. Gaji minimum RM2,500 diperkenalkan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan “sebagai permulaan”, manakala GLIC dan GLC menaikkan penanda aras gaji sara hidup daripada RM3,100 kepada RM3,400. Bantuan tunai boleh meringankan. Hanya gaji yang bermaruah boleh membebaskan. Pekerja gig menerima pakej RM160 juta yang dibiayai bersama kerajaan dan Grab, dan insentif padanan caruman PERKESO naik daripada 35 kepada 50 peratus jika syarikat platform turut menanggung caruman untuk pekerja. Ini cara baik memujuk syarikat berkongsi tanggungjawab tanpa mengacukan undang-undang. Tetapi berunding dengan satu syarikat gergasi juga mengukuhkan kedudukannya. Pakej ini jambatan, bukan destinasi. Destinasinya ialah kadar pendapatan minimum dan standard perlindungan yang sama untuk semua platform, yang dijanjikan Majlis Perundingan Gig pada awal 2027. Satu langkah kecil dijangka dipuji sepuluh tahun lagi: setiap warganegara didaftarkan automatik sebagai ahli KWSP sebaik berumur 18 tahun. Penjual dalam talian dan penunggang penghantar kini ada akaun persaraan sejak hari pertama. Tetapi akaun tanpa caruman hanyalah nombor; ujiannya ialah berapa yang masuk ke dalamnya. Merdeka dalam poket bukan hanya soal gaji hari ini, tetapi soal masih adakah duit ketika lutut sudah tidak kuat. Di sini perbezaan antara wang dan waad paling jelas. Bantuan tunai ialah wang. Gaji yang bermaruah ialah janji, dan janji itu belum sampai kepada semua. V. Penjawat awam: Pemegang dan perisai tali waad Bantuan RM1,500 untuk 1.3 juta penjawat awam Gred Utama B dan ke bawah, termasuk lantikan kontrak, serta RM750 untuk lebih sejuta pesara tentu disambut gembira. Di kumpulan WhatsApp pejabat, pasti sudah ada yang bertanya tarikh masuk, dan ada yang membuka semula troli Shopee yang ditinggalkan sejak Ogos. Itu manusiawi. Tetapi kenyataan media Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, pada petang yang sama membawa nada lebih berat. Beliau menyeru penjawat awam bersedia menggalas amanah ini sebagai Waad Nasional, dengan pelaksanaan yang pantas dan berkesan. Jika dalam bahasa Perdana Menteri waad ialah janji dua hala, dalam bahasa KSN penjawat awamlah yang memegang simpul talinya. Perdana Menteri sebelum ini berulang kali mengingatkan bahawa kenaikan gaji atau kenaikan pangkat datang bersama kenaikan tanggungjawab. Pesan itu masih terpakai. Dalam nilai MADANI, dua perkataan paling terpakai kepada perkhidmatan awam: keyakinan dan daya cipta. Keyakinan bermaksud rakyat percaya urusan mereka selesai tanpa perlu kenal orang dalam. Daya cipta bermaksud kerja lama dibuat dengan cara baharu, bukan kerja baharu dibuat dengan cara lama. Belanjawan ini memberi penjawat awam sesuatu yang lebih bernilai daripada wang: ruang budi bicara. Bagi kerja selenggara, pembaikan dan penambahbaikan fasiliti kerajaan, had lantikan terus dinaikkan kepada RM200,000 dan had sebut harga kepada RM3 juta. Projek berpelan pra-lulus JKR sehingga RM5 juta juga boleh dipelawa secara sebut harga. Tujuannya mulia: sekolah, klinik, kuarters dan dewan dibaiki atau dibina lebih cepat, dan kontraktor kecil Bumiputera G1 hingga G4 mendapat peluang. Di sinilah dilema klasik muncul. Penjawat awam kita selama ini lebih takut salah daripada takut lambat. Siapa boleh menyalahkan mereka? Fail yang lambat jarang membawa sesiapa ke mahkamah; fail yang cepat tetapi tersilap prosedur boleh membawa pegawai ke pejabat SPRM. Lalu lahirlah budaya “tunggu surat pekeliling”, yang begitu sebati sehingga ada yang menunggu pekeliling untuk memulakan pekeliling. Apabila had budi bicara dinaikkan, kerajaan sebenarnya meminta dua perkara serentak: bergerak lebih pantas dan kekal bersih. Kedua-duanya boleh dicapai dengan satu syarat: ketelusan. Seiring Akta Perolehan Kerajaan yang berkuat kuasa pada 2027, kerajaan berjanji menzahirkan maklumat projek, termasuk kontraktor dan nilai kontrak. Inilah pelindung terbaik untuk pegawai yang jujur. Apabila setiap kontrak boleh disemak wartawan, ahli akademik dan rakyat biasa, pegawai yang membuat keputusan dengan betul tidak perlu takut. Ketelusan bukan beban birokrasi. Ia perisai. Ada satu lagi peranan yang jarang dikaitkan dengan penjawat awam: penjaga data negara. Rekod perubatan elektronik, MyDigital ID, data cukai dan data kebajikan dijaga pegawai yang mungkin tidak pernah muncul di kaca televisyen. Apabila kerajaan bercakap tentang awan AI berdaulat dan kriptografi pascakuantum, yang memegang kuncinya setiap hari bukan menteri, tetapi pegawai IT di kementerian. Maka kepada para penjawat awam: RM1,500 itu bukan bonus. Ia pengakuan bahawa negara tidak bergerak tanpa anda. Kepada pesara: RM750 itu ingatan bahawa negara tidak lupa siapa yang membina pejabat yang anda tinggalkan. Bantuan itu dibayar dalam dua bayaran, sebelum Aidilfitri dan menjelang ambang tujuh dasawarsa Merdeka. Waadnya pula dipegang setiap hari. VI. Kedaulatan yang tidak kelihatan: Data, bahasa dan elektrik Dimensi ketiga dan keempat digabungkan, kerana kedua-duanya melibatkan perkara yang hanya kita sedari apabila ia hilang. Belanjawan ini mengumumkan dua perkara yang kelihatan bertentangan. Kerajaan merancang awan AI berdaulat supaya data rakyat dan maklumat strategik negara kekal di bawah kawalan Malaysia. Pada masa sama, langganan AI percuma untuk anak muda ditambah 100,000 lagi dan diperluas kepada aplikasi asing seperti ChatGPT. Anak muda perlu mahir AI hari ini, bukan selepas awan berdaulat siap. Tetapi kita perlu sedar ketegangannya: kita membina pagar kedaulatan sambil membeli tiket untuk anak-anak bertandang ke rumah orang. Penjajahan jenis baharu jarang datang dengan kapal perang. Ia datang dengan tawaran percuma yang sangat berguna. Pengumuman yang paling sedikit mendapat perhatian, tetapi mungkin paling penting, ialah arahan supaya semua kementerian, agensi dan institusi pendidikan menyumbang data bahasa digital yang sahih dan beranotasi kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, sebagai asas AI berteraskan identiti kebangsaan. Jika mesin masa depan belajar bahasa Melayu daripada ruangan komen media sosial dan terjemahan automatik yang cacat, istilah agama, undang-undang dan perubatan kita akan ditafsir oleh mesin yang tidak faham konteks kita. Generasi 1957 memperjuangkan bahasa Melayu dalam Perlembagaan. Generasi 2027 perlu memperjuangkannya di dalam mesin. Jika tidak, bahasa kita merdeka di atas kertas tetapi terjajah di dalam telefon. Di sinilah infografik perkataan unik tadi menemui makna lebih dalam. Pranata, ketimbang dan failasuf bukan hiasan retorik. Ia data bahasa. Bangsa yang malas menggunakan kosa katanya sendiri akhirnya terpaksa meminjam kosa kata orang lain untuk berfikir. Petikan Tirukkural dan syair era Dinasti Tang dalam ucapan yang sama mengingatkan bahawa khazanah bahasa negara ini berlapis. Data bahasa kebangsaan wajar menjadi teras, dan kekayaan bahasa komuniti lain menjadi sayapnya. Tenaga pula kedaulatan yang hanya kita sedari ketika lampu terpadam. Sejak September, aras perlindungan bil elektrik rumah dinaikkan daripada 600 kepada 800 kilowatt-jam sebulan, meliputi sehingga 90 peratus pengguna domestik. Pada masa sama, TNB melabur RM15 bilion untuk memperkukuh grid nasional, ketika permintaan didorong pusat data, kilang semikonduktor dan kenderaan elektrik. Kos grid lazimnya masuk ke dalam tarif. Jika majoriti isi rumah dilindungi, bebannya mesti dipikul pihak lain. Kita tidak membantah perlindungan rakyat. Kita hanya mahu pusat data milik syarikat global membayar kos sebenar elektrik yang mereka guna, secara telus, supaya rakyat biasa tidak diam-diam menanggung grid untuk keuntungan yang dihantar ke luar negara. Satu pengumuman ringkas membawa makna strategik besar: pemilikan penuh Kompleks Bersepadu Pengerang beralih kepada PETRONAS. Krisis Asia Barat mengajar kita bahawa minyak bukan hanya soal harga, tetapi soal dapat atau tidak. Kilang penapisan milik sendiri membolehkan negara bernafas lebih lama apabila laluan bekalan tersekat. Ujian seterusnya ialah Pengerang Biorefinery bersama Enilive dan Euglena: adakah nilai tambah bahan api penerbangan mampan kekal di sini dengan bahan suapan tempatan, atau kita sekali lagi menjual bahan mentah untuk diproses di negara orang? VII. Landasan ke Utara Dimensi merdeka kelima ialah landasan. ECRL Fasa 1 dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dijangka mula beroperasi Disember ini. Stesen bas akan dibina di stesen ECRL Kota Bharu, dan bas henti-henti akan menghubungkan 15 stesen di Pantai Timur. Namun ayat paling strategik tentang ECRL dalam ucapan itu bukan tarikh operasinya. Ia satu ayat pendek: Malaysia dan China sepakat menyambung laluan ke Rantau Panjang. Jaraknya hanya sekitar 20 hingga 25 kilometer. Tetapi Rantau Panjang terletak di tebing Sungai Golok, bertentangan dengan Thailand. Apabila landasan sampai ke situ, ECRL bukan lagi sekadar laluan Pantai Timur ke Lembah Klang. Ia mula menjadi pintu ke utara. Jajaran, kos dan jadualnya belum diumumkan, dan di situlah janji ini akan diuji. Kendatipun demikian, kereta api bukan tongkat sakti. Orang tidak memilih kereta api kerana ia laju, tetapi kerana perjalanan dari pintu rumah ke destinasi menjadi mudah. Stesen yang jauh dari kampung tanpa bas penyambung akan lengang, secanggih mana pun gerabaknya. ECRL perlu dikelilingi kawasan industri, perumahan rakyat dan pusat logistik, seperti industri berat di Bentong dan perumahan rakyat berhampiran stesen KotaSAS yang turut disebut dalam ucapan. Ada satu soalan yang jarang ditanya. Apabila stesen dibina, harga tanah di sekitarnya pasti naik. Siapa yang menikmatinya? Jika hanya pemaju, rakyat menanggung kos kereta api tetapi tidak berkongsi hasil. Perdana Menteri memetik John Rawls tentang keadilan sebagai kesaksamaan: wilayah yang tertinggal diberi kekuatan untuk merapatkan jurang. Pantai Timur sudah terlalu lama tertinggal. Biarlah sebahagian nilai tanah itu kembali kepada mereka. Itulah waad sebenar sebuah landasan. VIII. Daripada disantuni kepada memiliki Dimensi merdeka keenam lahir daripada idea Sukuk Simpanan Runcit Bertoken. Melalui teknologi rantaian blok, rakyat biasa boleh melabur dalam sukuk kerajaan dan memilih sama ada dana itu disalurkan untuk pendidikan, kesihatan atau perlindungan sosial golongan miskin. Selama 70 tahun, hubungan rakyat dengan wang negara agak sehala. Kita membayar cukai, kerajaan memutuskan cara berbelanja, dan kita bersuara sekali setiap lima tahun di peti undi. Sukuk bertoken membuka jalan ketiga. Ia bukan cukai yang wajib, bukan juga derma. Ia pelaburan yang ada pulangan, sambil memberi rakyat hak memilih. IX. Kebun sudah berpagar, pintu utama belum berkunci Dimensi ketujuh paling sukar, kerana ia meminta pemerintah memagar dirinya sendiri. Perdana Menteri memetik satu lagi gurindam Raja Ali Haji; Raja mufakat dengan menteri, Seperti kebun berpagarkan duri. Pagar itu bukan untuk melindungi pemerintah daripada rakyat. Ia untuk melindungi kebun, harta milik bersama, daripada sesiapa yang mahu mengambilnya tanpa hak. Inilah pranata dalam erti kata sebenar: institusi dan norma yang lebih kekal daripada mana-mana individu yang memerintah. Dalam tafsiran Thiruvalluvar tadi: kemakmuran yang tidak mengesampingkan akhlak. Untuk adil, banyak pagar telah dipasang. Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal serta Akta Perolehan Kerajaan mengikat kuasa Menteri Kewangan. Autonomi Parlimen dikembalikan. Perdana Menteri boleh disoal secara langsung di Dewan. Hukuman mati mandatori dimansuhkan. Juga yang paling bermakna menjelang 70 tahun merdeka, prosiding tatatertib terhadap mahasiswa kerana bersuara dan berhimpun secara aman dihentikan serta-merta, sementara AUKU akan diganti dengan kerangka undang-undang yang menjamin kebebasan akademik. Perdana Menteri juga jujur tentang pagar yang belum siap. Usaha mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri belum mendapat sokongan dua pertiga. Cadangan memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya telah diteliti secara mendalam, tetapi belum dilaksanakan. Beliau mengakui reformasi paling sukar ialah yang membataskan kuasa sendiri. Jarang ucapan belanjawan menyebut apa yang belum berjaya, dan kejujuran itu wajar dihargai. X. Laungan kelapan Dalam tulisan ini, kita membaca tujuh dimensi merdeka dalam Belanjawan 2027. Dapur lebih lega, tetapi dompet masih tunduk kepada harga minyak dunia. Lantai gaji naik, tetapi ramai pekerja PMKS masih menunggu giliran. Penjawat awam dihargai, dan kini memegang amanah lebih berat. Data dan bahasa mula dipagar, tetapi anak muda masih bertandang ke rumah orang. Bil rumah dilindungi, tetapi siapa membayar grid untuk pusat data masih kabur. ECRL hampir bergerak, tetapi ekonomi di sekelilingnya perlu bergerak sama. Sukuk bertoken menjadikan rakyat pemilik, jika pintunya terbuka untuk semua. Pagar kuasa sudah dipasang, kecuali pintu utamanya. Wang belanjawan ini akan habis dibelanjakan menjelang hujung 2027. Yang tinggal selepas itu bukan angka, tetapi janji: sama ada ditunaikan, atau dibiarkan menjadi kenangan ucapan. Pada 1957, tiada siapa tahu rupa Malaysia tujuh dasawarsa kemudian. Mereka tidak tahu tentang telefon pintar, AI atau pandemik. Tetapi mereka tetap melangkah, membina sekolah, jalan raya, FELDA dan institusi tanpa memegang semua jawapan. Itulah kuasa yang belum diketahui. Ia bukan musuh. Ia ruang untuk negara yang berani. Negara yang menang bukan yang paling pandai meramal, tetapi yang menyediakan banyak pilihan: lebih daripada satu laluan dagang, lebih daripada satu sumber tenaga, lebih daripada satu cara membiayai pembangunan, dan perkhidmatan awam yang cukup kukuh untuk membuat keputusan sukar apabila kejutan tiba. Sukuk bertoken, landasan ke Rantau Panjang dan data bahasa Melayu tidak akan berbuah tahun depan. Dalam kata-kata Perdana Menteri sendiri, kita tidak membina negara untuk satu tahun fiskal, tetapi untuk satu generasi. Hari ini ia kelihatan seperti permainan yang mustahil. Esok, apabila kita menoleh ke belakang, ia akan kelihatan seperti satu-satunya jalan yang masuk akal. Mukadimah ucapan itu berpaksikan lighad, seruan Surah al-Hasyr ayat 18 agar setiap jiwa memerhati apa yang disediakan untuk hari esok, dan penutupnya membawa kita kepada Odysseus, yang mengambil sepuluh tahun untuk pulang ke Ithaca. Sepanjang pelayaran, Odysseus digoda untuk singgah di pulau-pulau yang selesa. Ithaca kita ialah Malaysia yang adil, berdaulat dan bermaruah, atau dalam bahasa Thiruvalluvar, tanah yang subur, rakyat yang berilmu dan berbudi, dan kemakmuran yang tidak menggadai akhlak. Pada 31 Ogos 2027, kita akan melaungkan Merdeka sekali lagi. Biarlah ada satu laungan tambahan, laungan kelapan, untuk dasawarsa mendatang, sebagaimana ucapan itu sendiri berpaksikan lapan lunas. Jika 2023 ialah tekad, 2024 jiwa, 2025 disantuni dan 2026 dinikmati, biarlah laungan kelapan itu janji bahawa merdeka akan dimiliki. Dimiliki oleh pekerja melalui gaji yang bermaruah. Oleh rakyat melalui data dan bahasa sendiri. Oleh Pantai Timur melalui landasan yang membuka pintu. Oleh generasi akan datang melalui kuasa yang berpagar. Ukurannya tetap mudah, seperti yang diajar Raja Ali Haji. Bukan berapa besar belanjawan. Bukan berapa lama ucapan. Bukan berapa banyak perkataan yang memaksa kita membuka kamus. Tetapi adakah rakyat berasa lebih merdeka hari ini ketimbang semalam? Menggapai di langit perlukan keberanian. Mengakar di bumi perlukan kejujuran. Dan kedua-duanya perlukan penjawat awam yang tidak takut bekerja. Wang boleh dibelanjakan oleh sesiapa. Waad hanya ditunaikan oleh mereka yang setia. Selamat menyambut tujuh dasawarsa Merdeka. Perjuangan kita belum habis. * Datuk Yahaya Abdullah adalah Felo Akademi Kenegaraan Malaysia, pakar komunikasi strategik dan Ahli Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD). ** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Comments
Sign in to join the conversation
Sign InNo comments yet. Be the first to share your thoughts!